Manhajku Salaf

"Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman agama."[Bukhari dan Muslim]
“Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Rujuk Mukaddimah Shohih Muslim)

"aku melihat dunia dulu, baru kenal Islam.. aku percaya Islam lah solusi kepada dunia.."
"amat malang orang yang kenal Islam dulu, baru melihat dunia.. kemudian percaya agama perlu diubah mengikut dunia.."

Kapten HafizFirdaus

My Mua'llimin

Saturday 24 November 2012

Ustaz Google

Saya pernah menulis di dalam status page Facebook saya (facebook.com/afiqmemuslim) sebelum ini berkenaan dengan orang-orang yang berkongsi sesuatu ilmu tetapi tanpa sedar telah menyebarkan hadis palsu. Bahananya sangat dahsyat dan dosanya sangat besar!

Alhamdulillah, ada seorang sahabat yang PM saya baru-baru ini berkongsikan pendapatnya mengenai budaya mencedok ilmu terutamanya ilmu-ilmu agama dari Google. Saya tidak nafikan, bahkan di Facebook hari ini dibanjiri dengan ramai orang yang menyebarkan apa sahaja yang mereka temui di internet, sehinggakan tersebarnya hadis palsu, kisah palsu, israeliyyat dan bermacam lagi.

Saya sendiri tidak berapa pasti apakah pendekatan yang paling tepat bagi menangani permasalahan ini. Ini kerana di dalam suasana masyarakat hari ini yang 'super' sibuk dengan kehidupan masing-masing, kadang kala apabila mereka memerlukan sesuatu maklumat, mereka hanya mampu mencapai Google atau internet. Untuk menyekat mereka dari mencedok informasi ini dari Google atau Youtube adalah mustahil. Mungkin jalan terbaik adalah dengan menyediakan guidance untuk masyarakat awam yang tidak berlatar belakangkan pengajian agama.




Masyarakat awam teutamanya yang jarang menghadiri kuliah agama atau tidak sempat bertandang ke masjid berhampiran rumahnya, golongan sebegini rata-ratanya tidak tahu bagaimanakah cara untuk menilai sesuatu informasi terutamanya di dalam bab ilmu agama. Jika kita meletakkan diri kita di tempat mereka, maka bagaimanakah caranya untuk mengetahui hadis itu betul atau palsu, atau kisah itu benar atau israeliyyat?

Di dalam bab hadis, mungkin nasihat yang terbaik adalah jika hendak berkongsi sesuatu hadis, semak riwayat dan takhrijnya. Sekurang-kurangnya lihatlah jika ada tertulis 'Dinilai sahih atau hasan menurut ..... (nama ulama hadis)'. Dua kitab hadis yang reliable bagi kebanyakan ilmuwan Islam pula adalah Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Hadis dari dua kitab ini (jika ditulis 'Riwayat oleh Bukhari atau Muslim') kebiasaannya tiada masalah meskipun terdapat sedikit kritikan contohnya seperti kritikan di dalam Sahih Bukhari dikatakan terhadap hadis-hadis muallaq. Tetapi kebanyakan hadis dari dua kitab ini diperakui darjat kesahihannya.

Kedua, jika boleh, kenali penulis website atau blog tersebut. Contohnya seperti blog Dr. Mohd Asri (MAZA) yang sering dijadikan rujukan kerana beliau seorang yang boleh dipercayai di dalam ilmu agama dan hadis di atas latar belakang pengajiannya. Juga terdapat beberapa lagi penulis-penulis blog yang sumbernya dapat dipercayai, contoh lain adalah seperti Dr. Juanda Jaya dan Kapten Hafiz Firdaus. Blog mereka sarat dengan informasi yang berfaedah dan bermanfaat insya Allah.

Seterusnya, kalau boleh elakkan blog atau website yang banyak menulis mengenai supernatural, keramat atau 'karomah', kisah-kisah wali serta hal yang khufarat dan karut marut. Blog jenis ini jarang sekali dilihat mengambil sumber-sumber dari al-Quran dan as-Sunnah. Jika adapun, mereka sering melakukan penafsiran yang menyimpang dan bercanggahan dengan tafsir-tafsir yang muktabar seperti Ibn Kathir, at-Tabari dan lain-lain.

Berhati-hati juga dengan dakwaan-dakwaan seperti yang banyak orang share pada hari ini tentang kaedah pemakanan Nabi, cara Nabi buat itu dan ini. Jika mereka sertakan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah sekali tidak mengapa. Tetapi jika mereka sekadar menulis tanpa menyertakan dalil, maka kita perlu semak terlebih dahulu adakah maklumat itu benar.


Kita juga harus ingat bahawa ulama atau ustaz juga tidak lari dari membuat kesilapan. Hanya Nabi SAW yang maksum. Jadi kadang kala mungkin ada beberapa perkongsian mereka yang salah. Ini sebenarnya adalah normal. Kita tidak boleh pula mendakwa: "Eh, takkanlah ustaz tu salah, dia kan ustaz!" Hakikatnya, tidak kira berapa besar ulama atau ustaz tersebut, kerana sifat manusia yang memang tidak dapat lari dari kesalahan, maka setiap orang mampu membuat salah. Oleh kerana itu adalah sangat penting kita meneliti dari sumber manakah ulama atau ustaz ini ambil. Jika mereka memberikan dalil dari al-Quran dan as-Sunnah, maka kita dengar dan kita amalkan. Akan tetapi jika terdapat perkongsian mereka yang kita dapati bercanggahan, maka kita perlu tinggalkan atau bertanyakanlah dengan yang lebih arif.

Begitulah sedikit sebanyak panduan yang boleh digunakan untuk meneliti sesuatu informasi. Akan tetapi, yang paling baik sekali adalah bertanyalah dahulu sesuatu perkara kepada orang yang lebih arif di dalam ilmu itu sendiri, contohnya kalau nak bertanya tentang masalah agama, carilah ustaz yang memang arif tentang permasalahan itu. Ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
Maksudnya: "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui."
(Surah an-Nahl 16:43)

Akhir kata, guide ini adalah bagi orang awam agar lebih berhati-hati di dalam berkongsi ilmu-ilmu agama. Bagi mereka yang sudah arif, saya percaya masing-masing sudah tahu dan ada cara tersendiri untuk menilai informasi. Semoga Allah redha dan memberkati usaha kita.

Wallahu a’lam.

Credit to :  http://afiqme.blogspot.com/2012/11/ustaz-google.html

No comments:

Post a Comment