Manhajku Salaf

"Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman agama."[Bukhari dan Muslim]
“Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Rujuk Mukaddimah Shohih Muslim)

"aku melihat dunia dulu, baru kenal Islam.. aku percaya Islam lah solusi kepada dunia.."
"amat malang orang yang kenal Islam dulu, baru melihat dunia.. kemudian percaya agama perlu diubah mengikut dunia.."

Kapten HafizFirdaus

My Mua'llimin

Tuesday 26 March 2013

Belitan Iblis di sebalik button 'like'

Credit to : Muhammad Nasri

"Assalamualaikum saudara seagamaku dan laknat Allah keatas Iblis dan para pengikutnya.


Antara tipu daya syaitan yang licik kepada pendakwah alam maya terutamanya di facebook ialah apabila pendakwah itu menulis sesuatu , hatinya akan runsing tentang nilai like yang dia perolehi. Walaupun mungkin pada mulanya niatnya ikhlas dalam menulis nota namun syaitan itu memasukkannya ke dalam perangkap tanpa dia sendiri sedari. Lalu jarinya ligat menekan butang refresh untuk melihat jumlah like terkini. Apabila bilangan likenya itu banyak, maka dia bergembira. Gembiranya bukan kerana ilmu itu dimanfaatkan oleh orang ramai lalu dia mendapat pahala di atasnya, namun dia gembira kerana dirinya terpandang dan dipuji. Lalu hatinya berkata ' Barulah rakan-rakanku tahu bahawa aku ini mempunyai bakat dalam penulisan agama
'.
Kemudian dia bersemangat untuk menarik perhatian dengan tulisan yang lebih unik dan lain dari yang lain. Syaitan sanggup mengambil risiko dengan membisikkan idea yang benar lagi sahih bertubi-tubi kepadanya agar dengan idea yang bertubi-tubi itu maka si pendakwah akan menjadikan ia sebagai modal ke arah dosa besar yang dikategorikan sebagai syirik khafiyyah ( syirik tersembunyi ) yakni riya'.


Kepada pembaca yang menyangkakan ilmunya cukup, mungkin anda terkejut saya katakan syaitan boleh membisikkan suatu yang benar sebagai teknik peringkat tertinggi dalam perangkap lalu anda sangka saya ini menulis tanpa berpaksikan kepada ilmu ? Jangan terlebih dahulu bersangka-sangka. Buatlah kajian dengan lebih teliti akan isu ini. Kerana manusia itu sering menjauhi apa yang kedengaran pelik bagi dirinya walhal penambahan ilmunya sebelum ini berlaku disebabkan anda menghadam sesuatu yang dia tidak pernah anda dengar sebelumnya. ( Hint : Renungi perenggan yang keenam terakhir yakni perenggan yang bermula dengan " Si pendakwah Facebook itu menyangkakan dirinya wali Allah ... " dan jangan buat kesimpulan awal. )


Berbalik kepada sikap si pendakwah facebook yang disebutkan tadi. Tidakkah dia tahu bahawa segala ilmu yang diperolehi itu benar-benar hanya berasal dari Allah, kemudian Allah wahyukan kepada Nabi SAW lalu ilmu itu sampai kepada umat dari zaman berzaman ? Bukankah disebabkan itu maka yang layak menerima pujian hanyalah yang maha Tunggal yakni Allah Azzawajalla ? Lalu mengapa dia cuba untuk menyekutukan Allah dengan dirinya sendiri lantas cuba untuk menduduki tempat yang hanya layak bagi Allah itu ?


Mungkin pembaca yang agak berilmu akan mengatakan saya tersalah dalam pembuat analogi riya. Yakni riya itu sepatutnya menyekutukan Allah dengan makhluk yang lain yakni masih mengharapkan penghargaan dari orang lain walhal penghargaan ( pahala ) itu hanya dari Allah. Masih ingat hadis tentang seseorang di akhirat yang Allah suruh mereka meminta pahala kepada manusia yang dia harapkan pujian ketika di dunia ? Mungkin itu menjadi hujah anda. Namun jangan buat kesimpulan awal tentang analogi saya itu sebelum membuat kajian teliti. Bagi mereka yang tidak pernah mendengar hadis tersebut, tidak mengapa, teruskan lagi membaca tentang telatah si pendakwah Facebook.


Jika pada suatu hari jumlah 'like' ( pujian ) yang diperolehi oleh si pendakwah Facebook berkurang, dia menjadi kecewa. Bukankah ini sebagai bukti berlakunya riya ? Demi Allah yang urat jantungku ini berada di dalam genggamannya, jika kita berasa gembira tatkala dipuji dan terpandang kemudian menjadi muram apabila bilangan pujian semakin menurun, maka itulah ciri riya'. Ketahuilah bilangan like itu benar-benar ditetapkan oleh Allah semata-mata untuk menguji dirinya berkenaan penyakit riya'. Lalu perasaan-perasaan yang terkandung di dalam dada menjadi hujah dan saksi yang kuat untuk Allah mengazabnya sehingga manusia tidak mampu membantah bukti yang Allah kemukakan di mahsyar kelak.


Bukankah setiap zarah peristiwa dalam hidup ini WAJIB diiktikad sebagai perancangan khas dari Allah untuk menguji seseorang hamba agar semua itu menjadi hujjah di akhirat ? Jika kita masih menganggap yang kita ini memiliki cuti dari ujian sedangkan kita belum mati, maka demi Allah yang menggenggam urat jantungku bahawa iktikad kita masih cacat. Pandanglah setiap zarah peristiwa dalam hidup itu sebagai ujian dan putuskanlah tindakan yang wajar dilakukan berdasarkan kitab Allah dan sunnah Rasulullah.


Perasaan gembira dan muram yang berbolak balik di dalam dada itu pasti menjadi hujah dan saksi yang kuat untuk Allah mengazab si pendakwah Facebook itu. Dan pasti tidak ada satu manusia pun yang mengatakan Allah itu tidak adil ketika di mahkamah mahsyar sekalipun manusia itu kafir. Walaupun Allah itu mampu mengazab tanpa mengemukakan bukti dan mengadakan sesi pengadilan mahsyar, namun itu semua demi menunjukkan sifat Allah yang maha adil.


Si pendakwah Facebook itu menyangkakan dirinya wali Allah kerana telah mendapat banyak ilham padahal dirinya itu wali syaitan. Kerana ilmu yang dia perolehi itu tidak bermanfaat bagi dirinya. Dirinya terjerumus dalam riya' ditambah dengan dia itu sendiri tidak mengamalkannya. ( Hint : Setelah anda membaca perenggan ini dan anda itu sudah biasa dengan selok belok ilmu, pasti anda pernah mendengar buku Talbisul Iblis karangan Ibn Jauzi dan Furqan Baina Auliya'ur Rahman wa Auliya'usy Syaithan karangan Ibn Taimiyyah. Bacalah kedua-duanya dan adunkan ia dengan kefahaman yang benar )


Semua penyakit yang dihidapi oleh si pendakwah Facebook itu mungkin kerana dia terlupa untuk berta'awwudz ( minta perlindungan dari gangguan syaitan ) sebelum memegang PC atau terlupa berdoa agar dikurniakan ilmu bermanfaat. Ya benar definisi ILMU itu ialah Qalallah ( Allah berfirman ) dan Qala Rasulullah ( Rasulullah bersabda ). Namun jika menambah riya' dan tidak diamalkan , maka ia ilmu yang tidak bermanfaat bagi dirinya walau ianya bermanfaat kepada orang lain.


Apabila kita telah menganalisis peyakit-penyakit ini dan jantung hati kita menjadi saksi kepada diri kita sendiri, maka berdoalah kepada Allah agar tidak menjadikan kita sombong untuk mengakui kebenaran tentang apa yang telah disebutkan ini jika ianya bertepatan dengan Quran dan Sunnah. Kerana dalam keadaan suatu tulisan itu benar-benar menyelak kain hatinya, manusia akan terpecah kepada dua kategori :


1) Berasa marah lalu cuba membohongi dirinya sendiri seolah-olah penyakit yang disebut semua ini tidak ada di dalam hanya. Lantas mencaci atau memulau penulis. Bukankah seseorang itu telah hilang kewarasan akalnya apabila cuba menghipnosis dirinya sendiri yang dia tidak melakukan semua kesalahan yang disebut ? Punca manusia terjerumus ke dalam kategori ini ialah kerana adanya sifat besar diri dan hasad kepada penulis. Telah saya sebutkan berulang-ulang dalam penulisan sebelum ini bahawa kewarasan mantik akal seseorang akan terganggu apabila jantung hatinya dihinggap penyakit. Seperti yang tertimpa kewarasan akal iblis apabila iblis itu menjadikan api dan tanah sebagai hujah walhal dia sendiri tidak dapat membuktikan apa kaitan kemuliaan dan perbezaan material. Iblis tahu bahawa segala ilmu termasuk disiplin dalam berfikir itu hanya berasal dari Tuhan seperti malaikat berkata " Subhanakala ilma lana illa ma 'allamtana ", namun dia berbohong di hadapan Tuhan dengan mengemukakan teori kemuliaan yang Tuhan tidak pernah ajarkan sebelum itu. Jika anda terdetik untuk menyangkakan pelik dan salahnya kesimpulan saya tentang kaitan antara kewarasan akal dan penyakit hati, maka bantahlah ia dengan hujah dan ilmu yang benar.


2) Berasa insaf dan mengakui kesalahannya. Saya doakan orang yang berada dalam kategori ini akan bertemu di syurga.



Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment