PENANDA ARAS BODOH DAN CERDIK
30 April 2012 at 23:12
Oleh: Mohamad Sidik RosliSelalunya kita kerap atau cenderung untuk mengatakan sesuatu pihak itu bodoh dalam perkara atau isu tertentu kerana mereka tidak sependapat dengan kita dalam perkara tersebut yang mana ianya secara tidak langsung membawa maksud bahawa kita sebenarnya mahu mengatakan kita ini lebih pandai berbanding mereka.
Baik dalam apa-apa isu sekalipun, di sana sini pasti akan kedengaran pihak sini kata pihak sana bodoh, pihak sana kata pihak sini dungu, jumud dan sebagainya. Contohnya apabila satu pihak keluar berdemonstrasi, pihak yang tidak keluar berdemonstrasi mengatakan bahawa pihak yang berdemonstrasi itu bodoh, kerana mencari nahas dengan polis. Bodoh kerana membawa bersama-sama dengannya keluarga, anak-anak dan isteri mencari nahas dengan polis, sanggup telan asap dan gas pemedih mata semata-mata kerana mahu menjadi kuda tunggangan parti politik tertentu atas nama perjuangan.
Manakala di sebelah pihak demonstran pula, rakyat yang duduk rumah dan tidak keluar berdemonstrasi itu dianggap lebih bodoh dan dungu lagi kerana tidak mahu bangkit berjuang bagi menuntut dan mempertahankan hak-hak mereka yang telah diselewengkan oleh kerajaan kononnya, bodoh kerana membiarkan duit-duit mereka disamun kerajaan dan lain-lain lagi isu yang sedap, hangat serta hangit gegendang telinga mendengarnya. Justeru itu, mungkin sesuatu perkara itu bagi kita adalah bodoh, tapi bagi orang lain ianya adalah tersangatlah bijak. Manakala perkara-perakara yang dianggap bijak di negara kita berkemungkinan juga menjadi suatu perkara yang bodoh di negara-negara lain. Lawak bodoh itu pula berbeza tahap kebodohannya mengikut situasi, masa, tempat dan pelaku-pelakunya.