Manhajku Salaf

"Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman agama."[Bukhari dan Muslim]
“Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Rujuk Mukaddimah Shohih Muslim)

"aku melihat dunia dulu, baru kenal Islam.. aku percaya Islam lah solusi kepada dunia.."
"amat malang orang yang kenal Islam dulu, baru melihat dunia.. kemudian percaya agama perlu diubah mengikut dunia.."

Kapten HafizFirdaus

My Mua'llimin

Saturday 7 September 2013

Penanda Aras : Antara bodoh dan cerdik


PENANDA ARAS BODOH DAN CERDIK
30 April 2012 at 23:12


Oleh: Mohamad Sidik Rosli


Selalunya kita kerap atau cenderung untuk mengatakan sesuatu pihak itu bodoh dalam perkara atau isu tertentu kerana mereka tidak sependapat dengan kita dalam perkara tersebut yang mana ianya secara tidak langsung membawa maksud bahawa kita sebenarnya mahu mengatakan kita ini lebih pandai berbanding mereka.

Baik dalam apa-apa isu sekalipun, di sana sini pasti akan kedengaran pihak sini kata pihak sana bodoh, pihak sana kata pihak sini dungu, jumud dan sebagainya. Contohnya apabila satu pihak keluar berdemonstrasi, pihak yang tidak keluar berdemonstrasi mengatakan bahawa pihak yang berdemonstrasi itu bodoh, kerana mencari nahas dengan polis. Bodoh kerana membawa bersama-sama dengannya keluarga, anak-anak dan isteri mencari nahas dengan polis, sanggup telan asap dan gas pemedih mata semata-mata kerana mahu menjadi kuda tunggangan parti politik tertentu atas nama perjuangan.



Manakala di sebelah pihak demonstran pula, rakyat yang duduk rumah dan tidak keluar berdemonstrasi itu dianggap lebih bodoh dan dungu lagi kerana tidak mahu bangkit berjuang bagi menuntut dan mempertahankan hak-hak mereka yang telah diselewengkan oleh kerajaan kononnya, bodoh kerana membiarkan duit-duit mereka disamun kerajaan dan lain-lain lagi isu yang sedap, hangat serta hangit gegendang telinga mendengarnya. Justeru itu, mungkin sesuatu perkara itu bagi kita adalah bodoh, tapi bagi orang lain ianya adalah tersangatlah bijak. Manakala perkara-perakara yang dianggap bijak di negara kita berkemungkinan juga menjadi suatu perkara yang bodoh di negara-negara lain. Lawak bodoh itu pula berbeza tahap kebodohannya mengikut situasi, masa, tempat dan pelaku-pelakunya.



Baiklah, contohnya apabila kita mahu menentukan sesuatu perkataan yang dikeluarkan oleh seseorang penutur itu bodoh atau tidak, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Pertama siapakah penutur tersebut, siapakah pendengarnya, apakah yang dituturkannya dan di manakah situasinya. Barulah sesuatu ungkapan itu dapat dihukum samada ianya bodoh ataupun cerdik. Jika ia dihukum cerdik sekalipun, ia mungkin hanya menurut perhitungan orang yang menghukumnya sahaja, manakala bagi orang lain ia masih tetap dianggap bodoh.



Cuba berfikir sjenak, pada satu waktu kita katakan kepada rakan kita yang keluar berdemonstrasi itu bahawa tindakannya itu bodoh, tetapi kelak pada masa hadapan apabila dia menjadi seorang menteri, apakah pada ketika itu dia masih layak digelar bodoh dengan tindakan yang dilakukannya ketika ini?


Contoh yang lain kita ada rakan di universiti yang tekun memberikan sepenuh tumpuan terhadap pelajaran dan langsung tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti berpersatuan di universiti, pada ketika ini kita mengatakannya bodoh kerana tidak aktif, dungu dan jumud kerana menjadi ulat buku sahaja, tidak mempedulikan dunia luar. Namun kelak apabila dia menjadi seorang profesor, apakah dia masih dianggap bodoh di kala itu dengan sikap tindakannya dahulu pada ketika ini?



Jadi hakikat sebenarnya sahabat-sahabatku yang dikasihi sekalian, sesuatu yang dianggap bodoh dan cerdik itu sebenarnya amatlah abstrak sifatnya sebagaimana subjektifnya nilai kebenaran dan kebatilan itu di mata kita masing-masing. Boleh jadi sesuatu perkara itu dianggap bodoh di sisi kita, tetapi sebenarnya ia adalah bijak dan benar di sisi Tuhan yang Maha Esa, dan boleh jadi juga sesuatu perkara itu bijak dan benar di sisi kita, tetapi hakikatnya ia adalah batil dan membinasakan kita pada masa hadapan di sisi pandangan Tuhan yang Maha Bijaksana.



Firman Allah SWT di dalam Al-Qur'an:


ۖ
َعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 

وَ


"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." [Al-Baqarah (2): 216]





Baiklah, saya ingin bertanya kepada sahabat-sahabat sekalian, antara dua pilihan ini yang mana satukah yang akan kalian pilih:



Menjadi si bodoh yang bertuah sepanjang hayat.
Menjadi si cerdik yang bernasib malang sepanjang hayat.



Ada si petani tua yang bodoh, tetapi nasibnya selalu beruntung, hidupnya bahagia, anak-anaknya dapat membesar menjadi anak-anak yang baik, soleh dan terpelajar. Di suatu sisi yang lain pula di sana terdapat seorang kaya yang sangat cerdik dan bijak, tetapi hidupnya menderita, dikelilingi hutang yang banyak, ramai musuh, lalu akhirnya dia muflis dan mati dibunuh.


Kalau beginilah kesudahan nasib si cerdik di kemudian hari, lalu apa keberuntungannya? Baik jadi si bodoh sahaja, asalkan selamat, bahagia dan beruntung di dunia mahupun di akhirat.


Sebnarnya terdapat satu persamaan mutlak di antara si bodoh dan si cerdik, iaitu kedua-duanya tidak tahu tentang apakah nasib sebenar mereka masing-masing di kemudian hari.


Pada pendapat saya, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Jika Allah memberikan seseorang itu kecerdikan dan kebijaksanaan yang tinggi, maka keberuntungannya juga akan berkurang, malah beban tanggungjawabnya akan bertambah. Ini kerana Allah tahu bahawa si cerdik itu mampu menggunakan segala kecerdikan akalnya bagi menyelesaikan masalah-masalah hidup yang dihadapinya. Manakala jika Allah mengurniakan seseorang itu kecerdikan akal yang tidak seberapa, Allah juga akan memudahkan hidupnya sesuai dengan tahap kebijaksanaan akalnya. Begitulah Maha Adilnya Allah terhadap manusia. (Ini hanya pendapat saya sahaja, bukan pendapat ulama. Jadi pendapat ini boleh diterima atau ditolak mengikut kebijaksaan anda masing-masing)



Cuba perhatikan serangkap pantun ini, saya mendapat pantun ini daripada seorang ahli fikir tua yang sangat bijaksana:


Bodoh dengan bodoh jadi pandai

Pandai dengan pandai jadi bodoh

Bodoh dengan pandai jadi pandai

Pandai dengan bodoh jadi bodoh




Cubalah memahaminya...

Apakah yang anda faham dengan ungkapan ini?

Bagaimanakah pemahaman anda mengenainya?


Maksud ungkapan serangkap pantun dia atas ialah:


Apabila orang bodoh berhimpun dengan orang bodoh, disebabkan kebodohan itu mereka sering berbincang bagi mencari jawapan. Lalu akhirnya mereka menjadi pandai dan menemui jawapannya, hasil perbincangan dan pencarian yang sering mereka lakukan itu.

Apabila orang pandai duduk dengan orang yang sama-sama pandai, lantaran kepandaian itu mereka saling bertengkar diiringi keegoan masing-masing. Lalu akhirnya mereka kelihatan bodoh dan dungu di mata orang-orang bodoh. Menjadi bodoh disebabkan sikap bodoh mereka yang suka bertengkar itu. Atau si pandai dengan si pandai yang sering berbincang untuk mencari jawapan bagi sesuatu persoalan, tetapi mereka tetap tidak menemui jawapannya lalu mereka berasakan bahawa mereka masih bodoh dalam persoalan tersebut.


Apabila si bodoh berkawan dengan si pandai, lalu dia selalu belajar daripada si pandai. Lama-kelamaan si bodoh itu turut menjadi pandai seperti si pandai kawannya itu.


Apabila si pandai bergaul dengan si bodoh, disebabkan pergaulannya dengan si bodoh itu menyebabkan si pandai terbiasa dengan tabiat-tabiat bodoh si bodoh, lalu akhirnya si pandai kelihatan bodoh atau menjadi bodoh sama dengan si bodoh kawannya itu.



Oleh yang demikian, di tengah cakap-cakap ini semua, di antara si bodoh dan si cerdik, apakah sebenarnya penanda aras atau piawaian sebenar yang akan menentukan samada seseorang itu lebih bodoh daripada yang lainnya atau lebih cerdik daripada yang lainnya?



Penanda aras atau piawaian itu menurut Imam Al-Ghazali tidak lain dan tidak bukan ialah akhlak dan adab kemanusiaan yang mulia. Dengan adab dan akhlaklah seseorang itu akan kelihatan lebih bodoh atau lebih cerdik daripada selainnya.



Contohnya ada seorang lelaki cerdik, genius dan kaya sedang mahu melintas jalan, tanpa sengaja dia terpijak botol air di atas jalan lalu terjatuh. Lantas dia bangun berdiri lalu memaki-hamun botol air tersebut dengan penuh emosi kerana kegeraman. Pada ketika itu adakah dia kelihatan cerdik atau bodoh? Tentu saja dia akan kelihatan bodoh. Bukankah lebih bagus dia bangun, mengutip botol air tersebut lalu memasukkannya ke dalam tong sampah yang berhampiran tanpa perlu mengeluarkan sebarang perkataan. Tentu saja dia tidak akan kelihatan bodoh di mata orang-orang lain yang sedang berada di situ.


Begitulah sahabat-sahabatku sekalian, hakikatnya di dalam dunia ini tiada siapapun yang lebih bodoh daripada siapa dan tiada siapapun yang lebih cerdik daripada siapa. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui siapakah sebenarnya si bodoh dan siapakah sebenarnya si cerdik pada pandangan ma'rifah-Nya.



Justeru itu, tujuan utama saya menulis artikel ini ialah supaya kita:
Janganlah kita asyik nak membodoh-bodohkan orang lain yang tidak sependapat dengan kita dalam hidup ini agar kita tidak dibodoh-bodohkan pula oleh orang-orang yang bodoh sebagaimana kita yang bodoh ini pernah membodoh-bodohkan mereka kerana kebodohan mereka yang konon-kononnya kita rasa bodoh itu. Padahal pada pandangan mereka kita juga adalah si bodoh yang mencari nahas. Hakikat sebenarnya hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui siapakah sebenarnya si bodoh dan siapakah sebenarnya si cerdik.





Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Orang yang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang yang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah." [HR At-Tirmidzi]





Sebagai mengakhiri tugas pena, Prof. Dr. Abdullah Hassan telah menyatakan:


Setiap kali saya bertemu dengan rakan yang kecewa kerana tidak dapat meyakinkan orang jahil tentang sesuatu, maka lazimnya saya menasihati mereka, "Do not argue with an idiot, as he will take you down to his level of stupidity and beat you with experience. And those watching may not know the difference."



Terjemahan: "Jangan berhujah dengan si tolol. Dia akan meruntun tuan turun ke tahap ketololannya, dan mengalahkan tuan dengan pengalamannya yang banyak. Orang yang memerhatikan tuan berhujah itu, memikirkan tuan juga sama tololnya!"



Wallahu a'lam.


[30 April 2012, 2300]

No comments:

Post a Comment