BERSIKAP
adil terhadap kawan dan lawan amatlah sukar. Namun itulah tuntutan
Islam yang agung ini. Hati manusia biasanya apa berpihak kepada orang
yang disukai, sekalipun dia di pihak yang salah.
Sukar
pula untuk menyokong orang yang dibenci, sekalipun dia di pihak yang
benar. Apabila perasaan tidak terkawal atau berdisiplin dengan ajaran
Islam, maka insan biasanya akan mencari justifikasi untuk membela
kesilapan orang disukainya.
Dalam
masa yang sama, dia mungkin akan mencari ruang untuk mempersalahkan
musuh yang dibencinya. Sikap seperti ini menjadi barah kehidupan. Jika
ia menguasai masyarakat, kebenaran akan terhapus dan kebatilan akan
dibela.
Sikap
ini hadir kadangkala disebabkan taksub yang berlebihan, atau kebencian
yang berlebihan, atau sayang yang berlebihan, atau adanya kepentingan
tertentu di sebalik kebencian yang dipamerkan atau sokongan yang
diberikan.
Hasilnya
nanti, ketidakadilan hukuman atau penilaian akan berlaku. Kebenaran
akan dinafikan hanya kerana kebencian. Kesalahan akan dinilai dengan
kebaikan hanya kerana ketaksuban atau kecintaan atau kepentingan.
Sebab
itulah Islam memusuhi sikap yang seperti ini. Firman Allah dalam surah
al- Maidah: 8: (maksudnya): Wahai orang- orang yang beriman, hendaklah
kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana
Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap
adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan.
Melanggar
prinsip keadilan hanya kerana kebencian adalah sikap yang hina.
Demikian ajaran al-Quran. Allah menyebut dalam surah al-Nisa ayat 135:
Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang
sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan
kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu
bapa dan kaum kerabat kamu.
Kalaulah
orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu
terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan
kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada
keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak
menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan
ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah
sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Kebiasaan
manusia yang tidak berprinsip, akan mudah menerima khabar buruk orang
yang dibencinya. Maka banyaklah berita buruk tersebar tanpa bukti dan
dalil. Justeru itu Nabi s.a.w. bersabda: Cukuplah untuk seseorang itu
dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar
(riwayat Muslim).
Kata
al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H): “Ketahuilah, tidak selamat
seseorang yang menceritakan setiap apa yang dia dengar, dan seseorang
tidak menjadi imam (pimpinan) sama sekali apabila dia menceritakan
setiap yang dia dengar.” (Riwayat Muslim dalam Muqaddimah Sahihnya).
Hasil
dari sikap yang tidak adil ini, sesetengah pihak menolak pandangan
bernas seseorang hanya kerana empunya pandangan tidak satu parti, atau
satu ‘kem’, atau satu ‘kapal’, atau satu mazhab dengan mereka. Lebih
dari itu seseorang dimusuhi oleh partinya hanya kerana bersetuju atau
menyokong pandangan parti lawan, padahal pandangan atau dasar itu benar.
Lebih
dahsyat lagi; kadangkala golongan parti tertentu memandang sinis orang
memakai songkok, dan ada pula yang memandang sinis mereka yang memakai
kopiah. Sehingga pakaian tradisi dan adat pun dimasukkan dalam kandang
politik kepartian. Pemikiran seperti ini adalah lambang ketidakadilan
sikap dan kemunduran minda. Sikap buruk ini dinyalakan lagi apinya oleh
parti-parti yang suka mengambil kesempatan.
Apabila
ada tokoh yang mengkritik keputusan kerajaan dalam perkara tertentu
dengan niat ikhlas dan bertujuan baik, parti-parti berkenaan jadikan itu
isu politik untuk meraih undi. Ceramah dan akhbar parti pun membesarkan
isu tersebut untuk kepentingan politik, bukan kebaikan rakyat.
Akhirnya, yang menjadi mangsa empunya pemikiran yang baik tersebut dan
ideanya juga akan turut terkorban.
Politik
buruk dan tidak bertamadun ini, jika berterusan akan menjuruskan
masyarakat kepada cerita dongeng Hang Nadim yang dibunuh kerana ideanya
yang bernas. Sikap suka bersangka buruk yang terhasil dari permusuhan
atau kebencian atau kepentingan diri. Firman Allah (maksudnya): Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa (surah al-Hujurat:
12).
Taksub
adalah antara punca utama hal ini. Taksub pula berbagai-bagai; ada yang
taksub kepada sesuatu mazhab, pemimpin, parti politik, bangsa dan
lain-lain. Mereka ini akan menghukum sesiapa yang tidak sealiran dengan
mereka sebagai tidak baik dan salah. Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali:
“Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa
kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan
dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab
fiqah yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan
mereka.
Orang
yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan tidak berhati-
hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan
orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras,
mengkritik dan menyakiti.” (Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf
Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-
Khadra‘).
Penyakit
taksub ini kadangkala mengenai golongan agama lebih parah dari golongan
lain. Sentimen agama akan digunakan untuk menghukum mereka yang tidak
menyokong mazhab, atau parti atau kumpulan yang mereka anuti. Di
Malaysia ini umpamanya, golongan taksub ini apabila melihat ada orang
yang memberikan pandangan yang berbeza dari kebiasaan adat atau nenek
moyang, maka mereka akan dituduh atau difitnah sebagai kaum muda atau
wahhabi.
Tanpa
melihat kepada dalil dan hujah yang dikemukakan. Padahal sebahagian
besar mereka yang dituduh itu tidak tahu apa itu kaum muda atau wahhabi.
Lebih dahsyat lagi lagi; si penuduh itu pun tidak tahu apakah
sebenarnya istilah-istilah tersebut. Sikap inilah yang telah memangsa
tokoh-tokoh pembaharuan Melayu; seperti Za‘ba, Syed Syeikh al-Hadi, Abu
Bakar Baqir dan lain-lain.
Saya
masih ingat seorang yang dituduh wahhabi hanya kerana membaca buku
fiqah mazhab Syafii iaitu al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam
al-Syafii. Buku tersebut ditulis oleh tokoh- tokoh semasa mazhab al-Imam
al-Syafii, iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan
‘Ali al-Syarbaji. Namun apabila dibaca apa yang disebut dalam buku
tersebut: “Daripada bidaah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah
dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang
dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya.
Sekiranya
perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di
kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih
haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya
bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam
melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya,”
(1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), maka si pembaca dituduh wahhabi,
sedangkan buku yang dibaca adalah buku mazhab Syafii.
Demikian
ketidakadilan sikap. Mereka lupa kitab-kitab jawi Melayu juga menyebut
hal yang sama. Tokoh jawi Melayu yang terkenal Syeikh Daud al-Fatani
berkata dalam Bughyah al-Talab: “Lagi bidaah bagi orang yang kematian
membuat makanan menyerukan segala manusia atas memakan dia sama ada
dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang
diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi
segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya,” (2/34).
Demikian
juga kenyataan dibuat oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam
Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut:
“Maka bidaah yang tidak elok,” (7/130). Kesemua mereka ulama tradisi
Melayu, apakah mereka semua juga wahhabi?
Ada orang tuduh Perlis wahhabi. Apabila ditanya, apa itu wahhabi? Dia gagal memberi jawabannya. Ada
kata wahabi macam Arab Saudi. Saya katakan: Bukan semua fatwa Perlis
sama macam Arab Saudi. Wanita di Perlis umpamanya, tidak diwajibkan
berpurdah. Ada
yang kata kerana Perlis terima ketokohan Muhammad bin Abdul Wahhab,
tokoh reformis Saudi. Saya kata: Perlis mengiktiraf kesemua mereka yang
menyumbang untuk umat Islam, sama ada Muhammad bin Abdul Wahhab, atau
Muhammad ‘Abduh atau Ibn Taimiyyah atau al-Ghazali atau imam-imam yang
empat atau selain mereka.
Ini
bukan juga bererti kita memaksumkan mereka. Keinsafan dan keadilan
sikap mengajar kita menghormati sumbangan ilmuwan dan sikap suka
mengkafirkan tokoh tanpa alasan yang benar adalah warisan khawarij,
bukan ajaran Ahli Sunah wal Jamaah.
Saya
sendiri tidak banyak memberikan perhatian kepada tulisan Muhammad bin
Abdul Wahhab, namun saya tidak menuduhnya bukan-bukan tanpa bukti kerana
itu bukan akhlak Islam.
Apatah
lagi apabila saya dapati tokoh-tokoh umat Islam seperti Dr. Yusuf
al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi
al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah
adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik
yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya.
Beliau
bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam
memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah
Wahbah). Bahkan tokoh fiqah dunia terkenal yang sering negara kita
jemput–beliau ulama dari Syria bukan Arab Saudi–Dr. Wahhab al-Zuhaili
juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya,
menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredakan sesiapa, berpegang
kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) Jangan kamu kurangkan
manusia apa yang menjadi hak-haknya (surah Hud: 85), bahawa suara
kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah
(pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu Muslim
kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah
Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas Hijrah.
Tujuannya
untuk mentajdidkan kehidupan Muslim, setelah secara umum dicemari
dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bidaah dan penyelewengan. Maka
Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan
pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang
bersih.” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn
al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau
dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang
begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al- Wahhab patut dituduh wahhabi
atau tidak?!
Jika
hendak mencari orang yang mengutuk, setiap tokoh ada yang mengutuknya.
Imam Syafii yang agung itu pun ada tokoh ilmuwan agung lain iaitu Yahya
bin Ma‘in yang mempertikaikannya. Imam al-Bukhari juga dituduh oleh
ulama hebat pada zamannya iaitu Muhammad bin Yahya al- Zuhli sebagai
menyeleweng. Apa yang hendak dihairankan jika ada yang tersalah hukum
kerana tersilap fakta. Apa yang malangnya, ada di kalangan kita yang
sengaja mencari yang buruk untuk dihidangkan kepada masyarakat.
Saya
bukan wahhabi, Perlis juga bukan negeri wahhabi, namun kami ingin
menghargai setiap tokoh yang berjasa, dan tidak dapat menerima sikap
suka kafir-mengkafir dan sesat-menyesat. Semua para imam Ahlu Sunah wal
Jamaah, termasuk imam yang empat adalah rujukan kami. Kami tidak mahu
mengehadkan diri kami mengambil ilmu hanya dari seorang tokoh lalu
mengharamkan kesarjanaan dan keilmuan tokoh-tokoh yang lain. Bagi kami,
dalil dan hujah itu yang utama, bukan siapa tokohnya. Lihatlah dunia
dengan mata yang terbuka dan minda yang bercahaya.
Ketika
angkasawan kita telah membelah ufuk langit, ada pihak berkuasa agama
tertentu yang masih hendak kalut dengan menyesatkan atau mengkafir kaum
Muslimin hanya kerana menyatakan hendaklah umat mengambil manfaat dari
semua sarjana Muslim dari berbagai mazhab dan pentingkan dalil al-Quran
dan sunah yang sahih. Saya amat berbahagia dengan sokongan kepada
idea-idea pembaharuan yang dicetuskan.
Malangnya,
ada yang antipemikiran progresif dan mengambil jalan mudah dengan
menuduh sesiapa yang menyeru kepada sikap dan minda terbuka sebagai
wahhabi. Kenanglah arahan Allah: “Bersikap adillah, sesungguhnya adil
itu lebih dekat kepada takwa”.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/
No comments:
Post a Comment