Apa
jua khabar atau hadis yang diatasnamakan Nabi Muhammad Shallallahu
‘alaihi wa Sallam tidak boleh sewenang-wenangnya diterima tanpa
terlebih dahulu dipastikan status kesahihan atau kebenarannya. Ini bagi
mengelakkan menyandarkan sesuatu kepada Nabi dengan cara prasangka,
dusta, atau bohong yang mana telah kita ketahui setiap apa yang datang
dari Nabi itu memberi nilai agama sama ada dari aspek aqidah, tauhid,
hukum-hakam, akhlak, mu’amalah, dan sebagainya.
Dari itu, siapapun tidak boleh sesuka hati mengatakan sesuatu atas nama Nabi tanpa melalui cara yang benar.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
“Sesungguhnya
berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama
orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja,
bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, 5/37, no. 1209)
Oleh
sebab itulah para ulama hadis telah menyusun sebuah kaedah khusus bagi
memastikan kesahihan khabar yang disandarkan kepada Nabi. Iaitu dengan
meneliti sanad dan barisan para perawi hadis. Setelah keabsahannya
dikenalpasti, maka barulah ia layak dijadikan sebagai hujjah dan
pegangan dalam agama bersesuaian dengan kaedah-kaedah lainnya.
Imam ‘Abdullah B. al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) berkata:
الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّينِ، وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
“Isnad
adalah sebahagian dari agama. Jika tidak ada isnad, maka sesiapa saja
akan berbicara sesuka hatinya.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)
Seorang tabi’in, Sa’ad B. Ibrahim berkata:
لَا يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا الثِّقَاتُ
“Tidak
ada yang berhak mengkhabarkan sebuah hadis dari Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam melainkan orang-orang yang tsiqah.” (Hadis Riwayat
Muslim, 1/15)
Kata Muhammad B. Sirin rahimahullah (Wafat: 110H):
سَمُّوا
لَنَا رِجَالَكُمْ، فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ
حَدِيثُهُمْ، وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلَا يُؤْخَذُ
حَدِيثُهُمْ
“Mereka
(ahlus sunnah) sebelum itu tidak bertanya tentang sanad, tetapi ketika
terjadi fitnah, mereka pun berkata, “Sebutkanlah kepada kami nama para
perawimu.” Apabila dilihat yang menyampaikannya adalah ahlus sunnah
maka hadisnya diterima, tetapi bila yang menyampaikannya adalah ahli
bid’ah maka hadisnya ditolak.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)
Kriteria Hadis Sahih
Seseorang
Bertanya kepada imam asy-Syafi’i, “Sebutkan kepadaku syarat minima agar
suatu perkhabaran hadis itu boleh diterima sebagai hujjah.” Maka beliau
pun menjawab, “Perkhabaran yang disampaikan dari satu orang dari satu
orang sehingga sampai kepada Nabi atau kepada perawi yang berada di
bawah Nabi (para sahabat).”
Beliau
menyambung, “Perkhabaran hadis dari satu orang kepada satu orang tidak
dapat diterima sebagai hujjah sehingga memenuhi beberapa syarat yang di
antaranya:
“Orang
yang meriwayatkan mesti tsiqah (terpercaya) dalam agamanya. Dikenal
sebagai orang yang benar lagi jujur dalam berbicara, memahami apa yang
ia riwayatkan (atau khabarkan), memahami lafaz yang boleh mengubah
makna-makna hadis, dan mampu menyampaikan hadis bertepatan dengan
huruf-hurufnya persis sebagaimana yang ia dengar dan bukan menyampaikan
sekadar dengan maknanya atau sekadar dari kefahamannya sahaja.
Orang
yang meriwayatkannya perlu hafal apa yang ia riwayatkan jika dia
meriwayatkannya dari hafalan, atau mencatatnya dengan tepat jika dia
meriwayatkan berdasarkan catatannya (atau kitabnya). Apabila dia
menghafal suatu hadis bersama-sama dengan para huffaz (penghafal hadis)
yang lain, maka apa yang ia riwayatkan perlu selari dengan apa yang
diriwayatkan oleh para huffaz lainnya tersebut.
Orang
yang meriwayatkannya tidak boleh seorang yang mudallis dengan
meriwayatkan suatu riwayat (hadis) dari seseorang yang ditemuinya
tetapi tidak pernah mendengar riwayat dimaksudkan secara langsung
darinya. Atau apabila ia meriwayatkan suatu hadis dari Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam, ia tidak boleh menyelisihi apa yang diriwayatkan
oleh para perawi tsiqah yang lainnya dari Nabi.
Inilah
keriteria yang perlu dimiliki bermula dari perawi terendah (paling
bawah) sehingga paling atas yang sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam yang diriwayatkan secara maushul (bersambung). Iaitu setiap
perawi mengakui orang yang menyampaikan kepadanya dan orang yang
menyampaikan juga mengakuinya. Tidak seorang pun perawi yang boleh
mengelak dari ketentuan ini.” (asy-Syafi’i, ar-Risalah, m/s. 369-372 –
Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah, Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir)
Kriteria
dan syarat yang ditetapkan oleh imam asy-Syafi’i inilah yang diterima
pakai oleh para ulama hadis dahulu dan kini dalam menetapkan boleh atau
tidaknya sesebuah hadis diterima pakai. Di mana sanadnya mesti
muttashil (bersambung dan tidak putus), para perawinya ‘adil, perawinya
dhabit (tepat dan sempurna hafalannya), selamat dari syuyudz
(riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat para perawi yang lebih
tsiqah darinya), dan selamat dari ‘illat atau kecacatan-kecacatan hadis
lainnya. Inilah di antara asas utama bagi memastikan kedudukan sesebuah
hadis sama ada sahih, hasan, dha’if (lemah), maudhu’ (palsu), atau
selainnya.
Ini
sekaligus menunjukkan ketelitian dan kedalaman ilmu yang dimiliki oleh
imam asy-Syafi’i dalam bidang hadis. Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah
mengatakan, “Siapa sahaja yang memahami ucapan imam asy-Syafi’i
rahimahullah pada bab ini, pasti dia akan mendapati bahawa imam
asy-Syafi’i telah menyusun (atau merangkumkan) sebuah kaedah yang sahih
tentang ilmu hadis. Dan bahawasanya beliaulah orang pertama sekali
menjelaskan ilmu ini dengan begitu terang. Beliau adalah pembela hadis
yang paling unggul serta orang yang lantang menekankan kewajiban
mengamalkan sunnah.
Beliau
turut mengeluarkan hujjah bantahan terhadap orang-orang yang menentang
dan menolak hadis. Benarlah gelaran yang diberikan oleh pendudukan
Makkah kepada imam asy-Syafi’i sebagai Naashirus Sunnah (pembela
Sunnah), semoga Allah meredhainya.” (Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir,
ar-Risalah, m/s. 369)
Inilah
di antara prinsip imam asy-Syafi’i rahimahullah bahkan prinsip para
ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dari dahulu hingga kini dalam mengambil
dan menerima hadis sebagai hujjah agama. Mereka terlebih dahulu
memastikan keabsahan dan kesahihan sesebuah hadis sebelum mengamalkan
dan menyebarkannya. Mereka tidak mengambilnya dari sebarangan orang
begitu sahaja.
Alhamdulillah
pada hari ini, fasa periwayatan dan pembukuan hadis telah pun tamat
lengkap dengan sanad-sanadnya sekaligus memudahkan para ulama dan
masyarakat terkemudian menyemak serta memanfaatkannya. Cuma setiap
hadis tersebut masih perlu dinilai sahih atau tidaknya. Dan ini masih
sangat memerlukan perincian dan bantuan dari para ulama hadis sama ada
dahulu atau kini. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memetik hadis
begitu sahaja tanpa dipastikan terlebih dahulu keabsahan atau status
kesahihannya berpandukan kaedah yang benar. Setiap hadis perlu diambil
dari kitab dan sumbernya.
Selamilah
pengorbanan para ulama terdahulu yang sanggup keluar bermusafir ribuan
batu demi sebuah hadis yang mulia. Hadis-hadis diriwayatkan lalu
dibukukan dengan cara terhormat lagi dimuliakan. Dipilih dengan kaedah
yang penuh teliti lagi hati-hati.
Maka
sepatutnya kita pada hari ini memanfaatkan hasil pengorbanan mereka
dengan tidak sewenang-wenangnya memetik hadis hanya dari surat-surat
khabar, internet, cakap-cakap orang, dan pelbagai sumber lainnya tanpa
terlebih dahulu memastikan keabsahannya.
Para
ulama ahlus sunnah wal-jama’ah terkenal amat berhati-hati dalam memilih
dan mengambil hadis. Ini dalam rangka mengelak dari tersalah ambil
hadis-hadis yang lemah, maudhu’, atau tidak sahih lalu mengatakannya
ini adalah hadis sahih daripada Nabi?! Inilah juga di antara prinsip
yang dipegang teguh oleh imam asy-Syafi’i rahimahullah sebagaimana
dikatakan imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
تمسكه
بالاحاديث الصحيحة: واعراضه عن الاخبار الواهية الضعيفة: ولا نعلم أحدا من
الفقهاء أعتنى في الاحتجاج بالتمييز بين الصحيح والضعيف كاعتنائه
“Beliau
(Imam asy-Syafi’i rahimahullah) amat berpegang teguh dengan hadis-hadis
sahih dan menjauhi hadis-hadis yang lemah lagi dha’if. Kami tidak
mengetahui ada seorang pun dari kalangan fuqaha’ yang begitu
berhati-hati ketika berhujjah dengan membezakan di antara hadis sahih
dan dha’if sebagaimana yang dilakukan oleh beliau (asy-Syafi’i)...”
(al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/11)
Tapi
sayangnya, prinsip ini banyak diabaikan oleh pengamal mazhab
asy-Syafi’i sendiri di Nusantara ini. Sebahagian mereka tidak lagi
membezakan di antara hadis yang sahih atau tidak. Banyak berlaku di
mana hadis-hadis yang tidak sahih dipegang dan disebarkan sebagaimana
hadis sahih. Sehingga apabila didatangkan hadis-hadis yang sahih yang
bertentangan dengan apa yang mereka imani atau amalkan, mereka tidak
lagi mahu menerimanya.
Ini amat bertentangan dengan perkataan dan prinsip imam asy-Syafi’i sendiri di mana beliau mengatakan:
كُلّ
َمَا قُلْتُ وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
خِلَافُ قُولِي مِمَّا يَصِحُّ، فَحَدِيثُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلَى، وَلَا تُقَلِّدُونِي
“Setiap
perkataanku yang berbeza dengan riwayat yang sahih daripada Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka hadis Nabi lebih aula (perlu
didahulukan) dan kamu semua jangan bertaklid kepadaku.” (al-Baihaqi,
Ma’rifah as-Sunan wal Atsar, 2/454)
Juga kata beliau:
إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي
“Apabila sahih suatu hadis, maka itulah mazhabku.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/92)
Pernahkah
kita mendengar hadis-hadis yang boleh dianggap populer seperti tentang
mendapat ganjaran pahala 70 kali ganda jika memakai serban ketika
solat, perselisihan di kalangan umat Muhammad adalah rahmat, tuntutlah
ilmu sampai ke negeri China, Yasin jantung hati al-Qur’an, sesiapa yang
mengenal diri maka dia mengenal Allah, bermadu bagi isteri akan
mendapat payung emas di Syurga, galakkan membaca surah Yasin untuk
orang mati, kisah sahabat Nabi Tsa’labah yang bakhil, nyanyian thola’al
badru ‘alaina ketika menyambut Nabi tiba di Madinah, kisah ‘Abdurrahman
B. ‘Auf masuk Syurga sambil merangkak, serta pelbagai lagi
khabar-khabar hadis populer yang disandarkan atas nama agama dan nama
Rasulullah yang mana hakikatnya ia bukanlah hadis-hadis yang sahih dan
boleh dibuat hujah mahupun pegangan dalam agama.
Dukacitanya
ia berlegar di sekeliling kita, disampaikan oleh mereka yang bergelar
ustaz dan ustazah, serta diimani kebanyakan orang. Oleh itu,
pastikanlah setiap hadis yang kita terima dan amalkan adalah
hadis-hadis yang sahih terlebih dahulu. Takut-takutlah kita dengan
ancaman berdusta atas nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment