Kelahiran
tokoh agama 'segera' yang mengajar agama di surau, masjid dan
sebagainya tanpa mendalami ilmu-ilmu Islam dan disiplin setiap ilmu
adalah berpunca dari niat ingin menzahirkan diri sekalipun mereka tidak
layak. Sebahagian mereka sememangnya mempunyai sedikit pengajian agama.
Namun niat ingin segera muncul di khalayak ramai menjadikan mereka
tergesa-gesa menjadi guru orang ramai sebelum mereka menguasai ilmu.
Maka lahir fatwa-fatwa yang menyanggahi kitab Allah dan sunnah
RasululLah s.a.w.Oleh : Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin
Sabda Nabi SAW:
عَنْ
كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ t قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ r يَقُولُ: مَنْ
طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ
السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ
اللَّهُ النَّارَ.
Maksudnya :
"Daripada
Ka'ab bin Malik r.a, katanya : Aku mendengar RasululLah s.a.w.
bersabda: "Sesiapa yang menuntut ilmu untuk menyaingi ulama, atau
berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah
orang ramai tertumpu kepadanya ( mencari perhatian manusiia/ingin
menjadi terkenal ) , maka Allah masukkan dia ke dalam neraka."
(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah daripada Ibn 'Umar, al-Hakim daripada
Jabir bin 'Abdillah. Al-Hakim mensahehkannya dan disetujui oleh
al-Zahabi. Lihat : Al-Mustadrak 1/272, cetakan Dar al-Ma'rifah, Beirut.
Ada perselisihan dalam menentukan kedudukan hadith ini, namun hadith
ini mempunyai syahid (pembuktian daripada riwayat lain) yang
menjadikannya pada darjah sahih.)
Tujuan menuntut ilmu
agama adalah untuk keluar dari kejahilan demi mencari kebenaran dan
berpegang kepadanya. Juga untuk menegakkan kebenaran dan membelanya.
demikian tugasan dan tanggungjawab taalib al-'Ilm dan ulama' (ahl
al-'Ilm). Menuntut ilmu adalah ibadah dan ianya membawa insane muslim
ke syurga. Namun ada di kalangan manusia golongan yang ingin
bermegah-megah dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran tetapi
sekadar untuk menaikan diri dan kedudukannya sahaja. Dalam hadith ini
disebut tiga niat buruk yang menyebabkan penuntut ilmu agama dihumban
ke dalam neraka.
Pertama : Liyujaariya bihi al-'Ulama' - iaitu untuk bersaing dengan ulama.
Kata
al-Imam Ibn Athir (wafat 606H) : "maksudnya ialah untuk dia bersama
ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya
kepada orang ramai dengan tujuan riya' dan sum'ah (inginkan
kemasyhuran). (Ibn al-Athir, al-Nihayah fi gharib al-Hadith wa
al-Athar, 1/256, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.)
Turut
berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama
bukanlah satu kesalahan. Apatah lagi jika seseorang itu bernar-benar
berkemampuan. Islam menggalakkan kebangkitan ilmu dan generasi
intektual yang baru.
Islam mengalu-alukan ijtihad yang
baik dan memenuhi tuntutan. Namun yang salah ialah pada niatnya yang
ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan kesombongan dan ketakburan. Ilmu
yang sepatutnya membawa dirinya kepada syukur dan insaf dijadikan
sebagai punca sikap bangga diri dan menunjuk-nunjuk.
Kesan
niat yang sangat buruk sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya
mementingkan dirinya sahaja bukan kebenaran fakta. Dia hanya ingin
menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya bukan untuk kebenaran yang
Allah redhai. Jika dia melihat kebenaran di pihak lain dia akan menolak
dan mencari dalih yang baru demi menjaga kemasyhuran namanya. Maka
tempat orang seperti ini di dalam neraka.
Kata al-Imam
al-Tibi (wafat 743H) : "Maksud hadith ini ialah dia tidak menuntut ilmu
kerana Allah, sebaliknya untuk dia berkata kepada para ulama : "aku ini
berilmu seperti kamu", kemudiannya dia takabur dan meninggikan diri
pada orang ramai. Ini semuanya (sifat) yang tercela dan azab siksa akan
dikenakan kepadanya."
(Al-Tibi, Syarh al-Tibi 'ala al-Miskah al-Masabih, 1/420, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.)
Kedua : Liyumaariya bihi as-Sufahaa' - untuk bertengkar dengan orang jahil.
Kata
Imam al-Munawi (meninggal 1031H) : "Maksudnya ialah untuk dia berhujjah
dan bertengkar dengan mereka secara sombong dan membanggakan diri."
(Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/176, cetakan al-Maktabah al-Tijariyah
al-kubra, Mesir)
Niat buruk kedua dalam menuntut ilmu
agama ialah menuntut ilmu dengan tujuan untuk bertengkar dengan orang
yang jahil kerana ingin menunjukkan kehebatannya. Sedangkan antara
tujuan ilmu ialah untuk menyelamatkan orang jahil agar menemui
kebenaran. Ini kerana akal golongan yang jahil sangat terhad dan
memerlukan bimbingan. Namun ada golongan yang menuntut ilmu untuk
bertengkar dengan golongan jahil ini dan menunjukkan kehebatannya
kepada mereka. Orang jahil yang terhad ilmu dan akalnya pasti menyangka
dia hebat. Mungkin hal ini tidak dapat dilakukan di hadapan ulama maka
dia mencari ruang di kalangan orang jahil.
Sebenarnya
berbahas, atau berhujjah, atau berdebat itu sendiri bukanlah perkara
yang terlarang dalam syariat, tetapi ianya mestilah dengan cara yang
baik dan membawa kesan yang positif. Bukan untuk kesombongan dan
ketakburan tetapi untuk membimbing manusia kembali kepada hidayah.
Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud : "Serulah ke
jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan ) dan
nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang
endkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya tuhan mu
Dia lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih
mengetahui siapa yang mendapat hidayah petunjuk."
Kata
al-Tibi : "Maksud : berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih
baik ialah dengan cara yang terbaik dalam perdebatan, iaitu dengan
lunak dan berlemah lembut tanpa bersikap kasar dan keras. Ini kerana
golongan yang jahil itu kurang pertimbangannya." (Al-Tibi, op.cit.
1/420.)
Ketiga : Yasrifa bihi wujuuha an-Naasi ilaihi - agar dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya.
Ini
niat buruk yang ketiga iaitu menuntut ilmu agar mendapat habuan, harta
dan pangkat. Dia menjadikan pengetahuan agama untuk mencari popularity
atau mendapat kedudukan dan jawatan. Menjadikan orang ramai tertarik
kepadanya. Orang yang seperti ini sebenarnya bersedia untuk menjual
agamanya untuk habuan dunia yang dia buru.
Kesalahannya
bukan kerana dia mendapat habuan dunia atau kemasyhuran tetapi niatnya
yang memburu dunia dengan mempergunakan agama itu adalah suatu
kesalahan.
Jika menjelmanya tiga niat buruk ini dalam
jiwa pemegang amanah ilmu maka ilmu tidak lagi menjadi cahaya yang
menerangi kegelapan, sebaliknya ilmu akan dijadikan jualan untuk
mendapatkan habuan. Oleh itu Nabi s.a.w. menjanjikan tiga niat buruk
ini dengan neraka. Dalam hadith yang lain baginda menyebut : maksudnya
: "Daripada Abu Hurairah ; Sabda RasululLah s.a.w. : " Sesiapa yang
mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa
Jalla, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan
dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat."
(riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh
al-Solihin - lihat Ibn 'Allan, Dalil al-Falihin, 4/191 cetakan Dar
al-Fikr, Beirut)
Pengajaran Semasa
1.Semua
para penuntut ilmu syarak pada zaman ini disemua peringkat hendaklah
membersihkan niat asal mereka dalam menuntut ilmu. Jika golongan ilmuan
Islam dapat dipulihkan niat mereka agar bersi dan mencari redha Allah
s.w.t. pastinya Islam akan terbela dan setiap yang
mempermain-mainkannya akan terjawab.
2- Kemunculan
individu dan NGO tertentu yang cuba menjadikan nas-nas agama sebagai
sendaan adalah terbit daripada salah satu dari tiga niat di atas.
Mereka ini bukan sahaja tidak mencukupi ilmu pengetahuan agamanya
sebaliknya mereka gagal membersihkan niat mereka dalam menuntut ilmu
syarak atau ketika membaca bahan agama.
3- Kelahiran
tokoh agama 'segera' yang mengajar agama di surau, masjid dan
sebagainya tanpa mendalami ilmu-ilmu Islam dan disiplin setiap ilmu
adalah berpunca dari niat ingin menzahirkan diri sekalipun mereka tidak
layak. Sebahagian mereka sememangnya mempunyai sedikit pengajian agama.
Namun niat ingin segera muncul di khalayak ramai menjadikan mereka
tergesa-gesa menjadi guru orang ramai sebelum mereka menguasai ilmu.
Maka lahir fatwa-fatwa yang menyanggahi kitab Allah dan sunnah
RasululLah s.a.w.
4- Orientalis telah memperdayakan umat
Islam dalam persoalan niat menuntut ilmu ini. Maka kita dapati pada
hari ini ramai yang memiliki sijil agama sehingga ke peringkat
kedoktoran falsafah dari dunia barat dengan 'berguru' kepada Yahudi dan
Kristian. Sikap tidak mementingkan ilmu dan ingin segera memeliki sijil
segera dan memperolehi habuan dunia menjadikan sebahagian mereka
mengambil jalan pintas dengan berguru kepada musuh-musuh agama dalam
bidang agama. Kebanyakan mereka pulang ke dunia Umat Islam dengan
membawa pemikiran yang beracun. Secara sedar atau tidak mereka ini hari
demi hari hanya menambahkan keraguan jiwa mereka terhadap agama,
demikian juga mereka sebarkan kepada umat Islam.
Sebab
itu seorang tabi' besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) menyebut :
maksudnya : "Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan as-Sunnah)
adalah Deen (agama). Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kamu semua
mengambil agama kamu." (riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya)
Bayangkan
bagaimana dipelajari aqidah Islamiyyah daripada guru yang kafir yang
tidak percayakan Islam, bagaimana dipelajari tafsir daripada guru yang
tidak percayakan al-Quran, bagaimana dipelajari hadith daripada guru
yang tidak beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, bagaimana dipelajari
fekah daripada guru yang tidak pernah mengamalkan hukum hakam syarak.
Namun hanya kepada Allah kita mengadu betapa ramai anak-anak umat Islam
yang mendapat kelulusan agama dengan panduan mereka yang tidak beriman
kepada Islam. mereka pulang dengan membawa gelaran-gelaran ilmu, namun
sebenarnya sebahagian mereka hanya membawa racun kepada umat Islam.
Manhajku Salaf
"Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman agama."[Bukhari dan Muslim]
“Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Rujuk Mukaddimah Shohih Muslim)
"aku melihat dunia dulu, baru kenal Islam.. aku percaya Islam lah solusi kepada dunia.."
"amat malang orang yang kenal Islam dulu, baru melihat dunia.. kemudian percaya agama perlu diubah mengikut dunia.."
Kapten HafizFirdaus
"aku melihat dunia dulu, baru kenal Islam.. aku percaya Islam lah solusi kepada dunia.."
"amat malang orang yang kenal Islam dulu, baru melihat dunia.. kemudian percaya agama perlu diubah mengikut dunia.."
Kapten HafizFirdaus
My Mua'llimin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment